Monday, February 05, 2007
Aku telah dicabar oleh teman karibku untuk menulis catatanku hari ini dalam Bahasa Melayu baku. Idea/Cadangan yang pada fikiranku ini, tidak tulen langsung. Bukankah begitu, wahai para pembaca?
Disini aku senaraikan peraturan-peraturan yang telah direka oleh Baidura. Walaupun apa yang dikatakan oleh Bai adalah dalam Bahasa Inggeris, aku telah diwajibkan untuk menukarnya ke bahasa ibunda jika aku ingin mendapat haidah lebih. Habuan yg akan aku tuntuti tidak kira masa,situasi ataupun cuaca. Panas terik, hujan rintik berserta guruh ataupun banjir, hadiah tetap hadiah.
"Tulis satu catatan kamu dalam bahasa melayu baku. Tidak dibenarkan mengguna apa jenis perkataan gantian ataupun bahasa melayu pasar seperti "lah" dan "seh".
Cuba bayangkan bahawa ini adalah kertas peperiksaan Cambridge.
Kamu akan diberi 3 tajuk untuk dibicarakan ataupun kamu boleh memilih tajuk sendiri.
Tidak dibenarkan membuat lebih dari 3 kesalahan ataupun habuan kamu akan di tarik balik. Walaubagaimana pun, jika kamu menggunakan satu perkataan yang indah/bagus dan mempunyai faktor "wow", salah satu kesilapan anda tidak akan diambil kira.
Ifah akan menyemak catatan kamu.
Memandangkan anda mendapat markah A1, anda tidak dibenarkan merujuk kamus atau meminta bantuan.
Cabaran ini ditutup esok, 8 malam.
Sekiranya kamu berjaya, kamu akan mendapat ais krim dan sebotol air coke."
:::::::::::::::::
Oleh itu, anda semua sekarang dapat membaca catatan aku ini dalam Bahasa Melayu yang sudah lama aku tinggal kan. Walaupun aku bertutur dalam bahas melayu dengan datuk dan nenekku, berbual dan menulis dalam sesuatu bahasa amat jauh perbezaannya.
Aku sudah pun diberi tiga tajuk, walaupun salah satu tajuk itu amat menarik, pada pendapatku, ia tidak sesuai untuk di tulis dalam bahasa melayu. Jikaku cuba untuk menulis tajuk itu dalam bahasa ini, aku pasti ia akan menjadi satu isu kesihatan mental. Percayalah cakap aku ini.
Farzanah, Baidura bercadang untuk menyuruh kau, supaya menyemak kertas kerja aku ini. Itu tidak akan pernah terjadi dalam seumur hidupku, farz. Ada terlintas di benak fikiranku bahawa Farz akan cuba sedaya upayanya untuk melihat aku tumpas dalam cabaran ini. Justeru itu, aku tidak akan membenarkan diriku menjadi mangsa kejam seseorang.
Baidura, jika kamu fikir kamu akan terlepas dari dicabar oleh aku, sila berfikir dua kali. Fikirkan nya dalam-dalam, ya sahabatku? Salah satu sebab aku menyahut cabaran ini ialah atas dasar maruah yang boleh tergadai. Apakah betul untuk seseorang sahabat untuk memanggil temannya sendiri seorang pengecut? Tidak munasabah apa bila anda melihat situasi dimana aku dipanggil pengecut. Hanya kerana aku tidak mahu menyahut cabarannya, aku digelar pengecut.
Pada dasar itulah, aku akan membuktikan bahawa dia salah dari semua segi. Bahawa, aku mendapat A1 itu bukan kerana aku menyogok penyemak kertas ujian. Lagipun, dia berjanji dia tidak akan berkata apa-apa sekiranya aku memenangi cabaran ini, dia tidak akan memberi sembarang komen tentang markahku itu.
Pantang anak melayu dicabar.
Baiklah, ini tidak bagus, mengapalah aku membesar-besarkan melayu? Jangan salah faham aku tetap bangga menjadi anak watan melayu.
Selesai sudah catatanku untuk diari siber ku hari ini. Aku hendak menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang membaca catatan ini harus menanggung sendiri kesan-kesan sampingan. Jika anda mengalami ganguan mental, masalah tidak boleh tidur, mimpi-mimpi ngeri kerana membaca karya yang sangat teruk ini sila rujuk pada doktor famili anda. Aku tidak akan menanggung biaya rawatan.
Jika anda mengalami serangan jantung, aku berdoa bahawa khidmat hospital sempat menyelamatkan nyawa anda. Jika anda fikir bahawa, murid-murid tidak harus membaca karya ini, saya mohon jangan pulaukan diari siberku ini kerana ia sama sekali tidak berdosa.
Selesai. :::::::::::::::
NSUAIDAH.
i made a move at 9:35 PM
|
|
|